Saturday, September 27, 2008

Intai Teropong

Menonton Debat Presiden (Presidential Debate) antara dua calon Presiden US, John McCain dan Barack Obama sebentar tadi membuatkan saya perlu mencuri pengecualian kepada hasrat untuk tidak menulis isu politik buat masa ini.

Pertamanya, amalan debat terbuka antara dua calon presiden bagi Pilihanraya Umum (Presiden) di US yang telah bermula sejak tahun 1960 antara John F Kennedy dan Richard Nixon merupakan satu amalan demokrasi pilihanraya yang cukup menarik. Calon presiden yang telah dipilih oleh parti masing-masing (Parti Republikan dan Parti Demokrat) akan bertemu dalam satu debat yang akan membincangkan isu-isu penting negara, isu-isu kontroversi dan perbincangan polisi.

Di pentas inilah, calon-calon tersebut akan menunjukkan kewibawaan masing-masing dalam penguasaan isu-isu yang dibincangkan dan berpeluang untuk membentangkan visi dan cadangan polisi terbaik mereka untuk dilaksanakan sekiranya mereka terpilih menjadi Presiden.

Saya percaya rakyat Malaysia juga mengidamkan suasana yang sama dalam Pilihanraya Umum kita.

Tapi ia tak berlaku.

Pada musim kempen PRU-12 baru-baru ini, Presiden PAS secara peribadi telah mengemukakan cadangan kepada Presiden UMNO dan menawarkan diri untuk berdebat samada antara beliau dengan Presiden UMNO atau Timbalan Presiden PAS dengan Timbalan Presiden UMNO. Tapi sehingga ke hari-hari terakhir kempen, pihak UMNO tidak memberikan sebarang jawapan.

Begitu juga, selepas PRU-12, Dato’ Seri Anwar juga mengemukakan cabaran untuk berdebat tentang isu kenaikan harga minyak dengan Dato’ Seri Abdullah Badawi atau Dato’ Seri Najib. Kedua-duanya tidak menyahut. Akhirnya, yang bersedia hanyalah Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Chik.

Saya mengharapkan kita boleh melihat calon-calon Perdana Menteri (sekiranya parti-parti yang bertanding bersedia namakan terlebih dahulu) bagi Pilihanraya Umum Malaysia pada masa depan akan melalui proses debat terbuka begini bagi membuktikan keupayaan mereka.

Dalam perdebatan antara Mc Cain dan Obama sebentar tadi, kedua-duanya cuba untuk menunjukkan penguasaan dalam semua isu yang dibawa oleh moderator iaitu krisis ekonomi US, pendudukan tentera di Iraq, polisi US terhadap Iran, hubungan US-Rusia dan soal keselamatan pasca 9-11.

Obama memperlihatkan keyakinan dalam membentangkan plan pemulihan ekonomi US dan menyenaraikan keutamaan beliau dalam pembangunan bekalan tenaga, kebajikan rakyat teramai, pendidikan awal dan kesihatan. Beliau juga menjelaskan kelebihan polisi cukai yang akan dilaksanakan sekiranya beliau terpilih menjadi Presiden. Manakala Mc Cain kelihatan kurang bersedia dan lebih banyak bercakap soal potongan perbelanjaan dan sistem pentadbiran kewangan.

Saya melihat Mc Cain tidak ubah seperti Bush, mengagungkan US pada kuasa ketenteraannya. Mc Cain cukup berbangga dengan operasi ketenteraan di Iraq sementara Obama mempertikaikan kewajaran mengekalkan operasi tersebut.

Dalam isu dasar luar US terhadap Iran, saya percaya Mc Cain cuba mengambil peluang untuk menarik sokongan pengundi Yahudi (Jews) di US dengan menyebut lebih dari sekali bahawa dia tidak bersetuju dengan kesediaan Obama yang bersedia mengadakan pertemuan diplomatik dengan Ahmadinejad yang telah memberikan kenyataan untuk “menghapuskan Israel dari peta dunia”.

Saya percaya anda boleh mendapat banyak ulasan tentang debat pusingan pertama ini selepas ini.

Yang pasti, setiap pemimpin yang menawarkan diri untuk mentadbir sesebuah negara mesti mempunyai kefahaman jelas tentang negaranya, mempunyai visi, misi dan perancangan pentadbiran yang komprehensif untuk dilaksanakan nanti.

1 comment:

Unknown said...

Pergh... dasat....

Hampir setiap hari update, tahniah!

www.afyan.com