Wednesday, September 24, 2008

Destinasi Hidup

Dalam tazkirah antara tarawih pada satu malam di awal Ramadhan baru-baru ini, rakan saya Ustaz Dr Azhar Yaakub, memulakan kalamnya dengan indah sekali dengan membacakan hadis yang saya ingat maksudnya, “Barangsiapa mengenali dirinya, maka ia mengenali Tuhannya”.

Beliau seterusnya menyambung dengan mengupas kepentingan mengenal dan menjaga tiga elemen utama dalam diri manusia – jasad, akal dan emosi.

Ya, untuk kita memahami erti hidup, kita semestinya mengenali kejadian manusia sebaik-baiknya. Sedang saya bersetuju dengan ketiga-tiga elemen dalam diri manusia yang disampaikan ustaz dalam tazkirahnya, saya ingin menambah elemen ke empat yang sukar dijelaskan tempat duduknya pada diri manusia iaitu roh.

Roh, akal, emosi dan jasad – empat elemen utama yang dimiliki manusia sekaligus membezakan manusia dengan semua makhluk lain yang diciptakan Allah di atas muka bumi ini. Dalam istilah yang lain, manusia dianugerahkan empat aset utama iaitu kekuatan rohani (spiritual quotient), daya intelek (intellectual quotient), daya emosi (emotional quotient) dan jasmani (physical quotient).

Malaikat, jin dan syaitan tidak memiliki jasad, mereka adalah makhluk ghaib. Malaikat pula tiada emosi. Binatang tiada unsur rohani. Manakala makhluk yang lain berjasad tapi tiada akal apatah lagi ruh. Hanya manusia dijadikan Allah sempurna segalanya.

Apa hubungkait perkara di atas dengan tajuk kita hari ini – “destinasi hidup”?

Pertarungan (struggle) seseorang manusia sepanjang hidupnya banyak bergantung kepada apa yang dipercayainya (faith). Setiap manusia percaya kepada nilai baik dan buruk. Lebih jauh daripada itu manusia secara tabienya percaya terhadap wujudnya tuhan dan pertanggungjawaban manusia terhadap tuhan, tidak kira apa agamanya. Mereka yang menolak kepercayaan wujudnya tuhan adalah mereka yang cuba menafikan tabie manusia.

Kepercayaan kepada wujudnya tuhan ini adalah terhasil dari unsur kekuatan ruhani (spiritual quotient) dalam diri manusia. Semakin dalam kekuatan rohani seseorang manusia, semakin ia menjaga diri untuk patuh kepada nilai baik dan menjauhi nilai yang buruk dalam kehidupannya. Kerana Tuhan dan keredhaanNya adalah destinasi pelayaran hidup manusia itu.

Destinasi pelayaran hidup mesti tepat dan jelas!

Bagi umat Islam, destinasi kita hanya satu – Allah yang Maha Agung.

Ya, untuk cemerlang dalam hidup kita perlu punyai akal yang cerdas, emosi yang baik dan badan yang sihat. Tapi kesemuanya itu mesti dipandu oleh kekuatan ruhani yang hakiki. Berikan makanan dan peruntukkan masa untuk ruhani (spiritual quotient) dengan kita berfikir, berzikir, menjaga ibadah dan sentiasa mengikat diri kita denganNya.

Apa nasib sebuah pelayaran walau kapalnya besar, kompasnya canggih dan layarnya kukuh SEKIRANYA pelayar tak tahu mana destinasinya?

1 comment:

Muna 'Izzah Fadzil said...

Destinasi yang pasti datang
bak kata TGNA: dunia di bawah dagu dan akhirat depan mata. jadi yang di depan mata yang dikejar. yang di bawah dagu akan hilang jua.

Sama2 kita membina aura positif dalam melangkah ke destinasi seterusnya.