Friday, September 26, 2008

Sauh Berlabuh

Sejak dua hari yang lepas (selepas posting kedua – “Destinasi Hidup”), saya tercari-cari idea untuk menulis sesuatu yang lebih ringan sebagai selingan di blog ini.

Apabila kawan saya Afyan (www.afyan.com) menelefon di pagi Rabu bertanyakan “kematian” road tax kereta saya, saya sempat meminta pandangan beliau. Dia kata “…berceritalah! Ramai orang suka baca cerita…”.

Balik ke rumah malamnya, saya bertanya pada isteri (www.munaizzah.blogspot.com) “…Yang! Apa Abang nak tulis kat blog tu ye, untuk selingan…” . Dia jawab “…tulislah pasal kisah abang buat pemeriksaan mata hari tu…”.

Saya masih belum dapat idea.

Lalu, selepas solat subuh, saya tembak satu SMS pada adik bongsu saya (www.fadzliyusof.com), dialah yang mencadang dan menggalakkan saya dan isteri mem”blog”. Selepas seketika, ini jawapan SMSnya:- “quotation local figure, fakta menarik, jenaka, berita pilihan minggu ini. Tulis yg connected dgn tema blog tersebut”.

Terima kasih pada semua yang beri pandangan!

Kadang-kadang teringin untuk mengulas isu-isu politik semasa. Tapi mengingatkan lambakan blog-blog penulisan politik yang ada, saya memutuskan untuk tidak menulis tentang politik pada masa ini. Mungkin saya perlu ada blog kedua pada masa depan untuk penulisan politik. Lagipun, penulisan politik juga berat.

Jadi, apa kisah yang perlu saya ceritakan kali ini?

Saya ada beberapa “fakta menarik” – saya diingatkan semula malam tadi dari tazkirah Tarawih oleh Ust Zulkifli Ahmad, seorang pendakwah muda dan pejuang Islam yang cukup komited dalam perjuangan. Dalam penyampaian beliau yang cukup bersemangat, beliau ada bercerita tentang kehebatan tokoh-tokoh dunia dan pengorbanan mereka.

Saya nak berkongsi dengan anda kisah 2 tokoh yang mempunyai daya spiritual (spiritual quotient) yang cukup tinggi, (yang disebut oleh Ustaz Zul malam tadi, dengan sedikit penambahan) iaitu Sheikh Ahmad Yasin dan Mahatma Ghandi.

Kisah 1: Sheikh Ahmad Yasin

Sheikh Ahmad Yasin adalah pemimpin utama perjuangan rakyat Palestin, pengasas HAMAS. Walaupun beliau hanya berkerusi roda sejak zaman kanak-kanaknya dan (hampir) buta, tetapi beliau cukup digeruni oleh musuh Islam, zionis Israel. Beliau ditahan dan dipenjarakan oleh Israel pada tahun 1989 kerana mengetuai gerakan menentang penjajahan yahudi zionis di Palestin dan dibebaskan pada tahun 1997 sebagai tukaran dengan dua ajen Mossad yang ditahan pemerintah Jordan. Beliau terus memimpin HAMAS sehingga beliau terbunuh dalam serangan hendap tentera Israel ke atasnya pada Subuh 22 Mac 2004.

Pada pagi tersebut, pembantu-pembantu beliau telah menasihatkan beliau untuk kekal di rumah kerana mereka telah mendapat maklumat tentang rancangan serangan untuk membunuh beliau. Tapi beliau bertegas untuk terus keluar berjamaah di masjid dan menyatakan beliau "tidak gentar untuk mati”.

Kisah 2: Mahatma Ghandi

Mahatma Ghandi adalah seorang seorang tokoh pemimpin dunia. Beliau memperjuangkan nasib bangsa India dan kemerdekaan India dari British. Beliau mengorbankan kehidupan beliau demi masa depan yang lebih baik untuk India. Beliau meninggalkan kehidupan cara hidup barat (beliau merupakan lulusan Undang-Undang di University College London) dan memilih untuk hidup sederhana dan berpakaian (khadi) seperti pakaian golongan termiskin di India. Begitulah keadaan beliau berpakaian sehingga beliau mati ditembak pada tahun 1948.

Di pusaranya tertulis “He Ram” yang bermaksud “Oh Tuhan” dan dikatakan inilah perkataan terakhir yang dilafazkannya selepas ia ditembak.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang kedua-dua kisah tokoh-tokoh ini, apa yang pasti mereka punya kesedaran spiritual (spiritual quotient) yang tinggi juga destinasi hidup yang jelas!

Jumpa lagi!!!


2 comments:

Unknown said...

ayah key, kakya dah baca blog ayah key.kat sini ada cadangan, apakata kalu ayah key cerita jg ttg keadaan politik semasa+perspektif undang2 ttg kejadian2 yg berlaku.mesti lagi best!tahniah

Tranungdaily said...

tahniah atas kelahiran blog tuan. Tapi saya kurang bersetuju apabila tuan mengambil contoh mahatma gandhi sebagai individu yang mempunyai SQ yang tinggi. Betul istilah itu ditimbulkan oleh cendekawan barat (bukan Islam), dan tuan sendiri mengakui kita umat Islam diajar mempunyai SQ yang tinggi. Tapi kalau kita anggap mahatma gandhi mempunyai matlamat hidup yang jelas, maka sepatutnya dia sudah Islam! Bukan hindu yang menganggap lembu sebagai Dewa!