Saturday, October 11, 2008

Melakar Peta Hidup - IQ (Siri 1)

“20 meter di hadapan… belok kanan” suara lunak wanita kedengaran dari dalam kereta. Mata saya sekali-sekala beralih ke skrin paparan di sebelah kiri pandangan.

“Wow, Hebat!” begitulah gelagat dan respon saya semasa mengujipandu kereta yang dipasang dengan sistem GPS beberapa bulan lalu.

Sistem GPS atau “Global Positioning System” adalah sistem pemetaan bersatelit yang mengesan kedudukan kita (kereta yang kita pandu) melalui satelit dan dipadankan dengan pemetaan setempat – lalu dipaparkan di skrin pemanduan. GPS mampu menunjuk arah kita ke tempat tuju dan menasihatkan laluan dan jalan-jalan yang perlu diambil dalam perjalanan.

Ia umpama satu sistem kompas canggih (mengesan arah kedudukan kita) dengan kombinasi pemetaan yang lengkap. Ia memudahkan perjalanan kita. Dengan GPS kita boleh sampai ke satu destinasi yang kita tentukan dengan mudah walaupun kita belum pernah sampai ke sana sebelumnya.

Bagaimana pula dengan perjalanan hidup kita?

Hidup kita juga perlukan arah tujuan. Sebelum ini saya menulis tentang SQ yang menuntut kecerdikan manusia untuk sedar maksud (meaning) dan tujuan (purpose) kehidupan. Maksud dan tujuan hidup menentukan destinasi tertinggi atau matlamat kehidupan kita.

Untuk kita berjaya, kita juga perlu menetapkan arahtuju dan laluan perjalanan hidup kita. Kita perlu ada wawasan, perlu ada cita-cita, perlu ada angan-angan.

Manusia yang gagal adalah manusia yang tiada cita-cita, tiada perancangan hidup. Haiwan tiada cita-cita hidup. Mereka boleh berfikir, tetapi mereka tidak mampu melakar cita-cita. Ini yang membezakan antara akal manusia dan akal binatang.

Sebagai manusia kita mesti menggunakan kelebihan akal kita untuk memasang cita-cita hidup, melakar peta kehidupan. Inilah fungsi utama IQ (intelectual quotient) manusia – menentukan cita-cita, wawasan dan arahtuju hidup.

Cita-cita hidup mesti seiring dengan matlamat hidup. Seperti yang disebutkan dalam artikel terdahulu, bagi orang Islam matlamat hidupnya adalah untuk Allah, maka cita-cita hidupnya mesti bersandar pada keredaan Allah. Sebagai contoh, kalau dia bercita-cita untuk kaya, dia mesti kaya untuk keredaan Allah. Kalau dia nak jadi pemimpin negara sekalipun, kerana dia nak mencari keredhaan Allah.

Begitulah seterusnya.

1 comment:

Unknown said...

Siap buat bersiri tu....