Saturday, October 25, 2008

Makluman Kepada Pengunjung!

Saya mendapat maklumbalas dari beberapa pengunjung blog ini yang memaklumkan tidak dapat menghantar komen (comment) di sini.

Setelah disemak, rupanya setting blog saya hanya membenarkan pengunjung berdaftar untuk menghantar komen. Hari ini saya telah mengubah setting tersebut dan membenarkan semua pengunjung untuk menghantar komen.

Dipersilakan…

Harap maklum!

Thursday, October 16, 2008

Sehari di Sri Pentas


Hari ini saya menghantar isteri saya (www.munaizzah.blogspot.com) ke Sri Pentas untuk satu siri rakaman bagi siaran TV9. Rakaman tersebut adalah untuk rancangan Sahabat yang bersiaran setiap Sabtu jam 7.30 malam. Rancangan Sahabat disasarkan terutamanya kepada penonton remaja dan tema bagi episod yang dirakamkan hari ini adalah Emosi & Gangguan Emosi.

Dalam perjalanan, saya dan isteri sempat berbincang tentang isi kandungan yang boleh dikemukakan untuk program tersebut. Antara perkara yang sempat saya kongsi dengan isteri adalah seperti berikut:-

  • Emosi adalah satu daripada empat unsur kejadian manusia iaitu tubuhbadan (fizikal), emosi (emosional), akal (intelektual) dan ruhani (spiritual). Kesemua unsur pada diri manusia ini adalah saling bergantungan antara satu sama lain.
  • Sementara akal manusia terhasil dari aktiviti otak, emosi dikatakan terbit dari hati manusia. Rasulullah ada bersabda yang bermaksud “Ketahuilah pada jasad manusia itu ada seketul daging. Sekiranya baik daging tersebut, maka baiklah manusia tersebut, sekiranya buruk daging tersebut maka buruklah manusia tersebut. Ketahuilah ianya adalah hati (al-kalb)”.
  • Emosi manusia ada turun naiknya. Ada masa gembira, ada masa sedih. Ada masa suka, ada masa duka. Tak kira apa jantina, umur, kedudukan dan pangkat seseorang, setiap manusia ada masa emosinya menurun dan terganggu.
  • Persoalannya, bagaimana untuk menangani emosi yang menurun dan mengelakkan gangguan emosi yang serius?
  • Manusia cenderung untuk bersikap reaktif kepada emosi yang timbul dalam dirinya. Apabila marah mereka bertindak mengikut marah mereka, apabila malas mereka abaikan tugas, apabila sedih mereka berputus asa. Begitulah seterusnya.
  • Rasulullah ada berpesan “Bukanlah kekuatan itu diukur dengan pertarungan, tetapi kekuatan itu apabila seseorang mengawal dirinya (emosinya) apabila marah”.
  • Maksudnya, manusia tidak boleh membiarkan emosi mengawal diri, tapi diri yang mengawal emosi.
  • Kita tidak boleh bersikap reaktif pada emosi tapi mesti bersikap proaktif. Contoh: marah-bertarung(reaktif), sedih-berputus asa (reaktif), malas-tidur (reaktif).
  • Untuk menjadi proaktif, kita mesti membuat keputusandan pilihan sebelum kita bertindak. Contoh: marah-fikir & buat keputusan-bertindak, sedih-fikir & buat keputusan-bertindak dan seterusnya.
  • Manusia selalu tidak menyedari bahawa mereka ada kekuatan untuk membuat pilihan sebelum bertindak. Latihlah diri anda untuk mendapatkan kekuatan ini.
  • Biar akal yang menguasai emosi kita. Biar ruhani (kepercayaan hidup) yang menguasai emosi kita. Insha Allah, kita berjaya.

Begitulah kisahnya.

Sebelum beredar dari Sri Pentas, ada dua gentleman menyudikan diri bergambar dengan saya. Anda kenal ke? Saya ingat peminat blog saya… :)

Saturday, October 11, 2008

Melakar Peta Hidup - IQ (Siri 1)

“20 meter di hadapan… belok kanan” suara lunak wanita kedengaran dari dalam kereta. Mata saya sekali-sekala beralih ke skrin paparan di sebelah kiri pandangan.

“Wow, Hebat!” begitulah gelagat dan respon saya semasa mengujipandu kereta yang dipasang dengan sistem GPS beberapa bulan lalu.

Sistem GPS atau “Global Positioning System” adalah sistem pemetaan bersatelit yang mengesan kedudukan kita (kereta yang kita pandu) melalui satelit dan dipadankan dengan pemetaan setempat – lalu dipaparkan di skrin pemanduan. GPS mampu menunjuk arah kita ke tempat tuju dan menasihatkan laluan dan jalan-jalan yang perlu diambil dalam perjalanan.

Ia umpama satu sistem kompas canggih (mengesan arah kedudukan kita) dengan kombinasi pemetaan yang lengkap. Ia memudahkan perjalanan kita. Dengan GPS kita boleh sampai ke satu destinasi yang kita tentukan dengan mudah walaupun kita belum pernah sampai ke sana sebelumnya.

Bagaimana pula dengan perjalanan hidup kita?

Hidup kita juga perlukan arah tujuan. Sebelum ini saya menulis tentang SQ yang menuntut kecerdikan manusia untuk sedar maksud (meaning) dan tujuan (purpose) kehidupan. Maksud dan tujuan hidup menentukan destinasi tertinggi atau matlamat kehidupan kita.

Untuk kita berjaya, kita juga perlu menetapkan arahtuju dan laluan perjalanan hidup kita. Kita perlu ada wawasan, perlu ada cita-cita, perlu ada angan-angan.

Manusia yang gagal adalah manusia yang tiada cita-cita, tiada perancangan hidup. Haiwan tiada cita-cita hidup. Mereka boleh berfikir, tetapi mereka tidak mampu melakar cita-cita. Ini yang membezakan antara akal manusia dan akal binatang.

Sebagai manusia kita mesti menggunakan kelebihan akal kita untuk memasang cita-cita hidup, melakar peta kehidupan. Inilah fungsi utama IQ (intelectual quotient) manusia – menentukan cita-cita, wawasan dan arahtuju hidup.

Cita-cita hidup mesti seiring dengan matlamat hidup. Seperti yang disebutkan dalam artikel terdahulu, bagi orang Islam matlamat hidupnya adalah untuk Allah, maka cita-cita hidupnya mesti bersandar pada keredaan Allah. Sebagai contoh, kalau dia bercita-cita untuk kaya, dia mesti kaya untuk keredaan Allah. Kalau dia nak jadi pemimpin negara sekalipun, kerana dia nak mencari keredhaan Allah.

Begitulah seterusnya.

Saturday, October 4, 2008

Iman, Takwa & AidilFitri

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Wa lillahilHamd,

Hari ini hari ke-4 Syawal. Sudah tiga hari Aidilfitri berlalu, disambut dengan pelbagai perasaan dan bermacam-macam aktiviti.

Aidilfitri adalah hari kemenangan. Kemenangan umat Islam dalam berperang dengan nafsu sepanjang Ramadhan.

Nafsu adalah keperluan dalam kejadian diri manusia. Nafsu menyokong keperluan EMOSI dan FIZIKAL manusia. Badan kita perlukan tenaga, nafsu mendorong kita makan. Jiwa kita perlukan keseronokan dan ketenangan, nafsu mendorong kita pada hiburan, kuasa dan kebendaan.

Akan tetapi, nafsu yang tidak terkawal membawa manusia kepada kemusnahan. Sesetengah makanan dan minuman memudaratkan, sesetengah keseronokan memudaratkan. Maka Islam meletakkan had kepada apa yang dibolehkan dan apa yang tidak dibolehkan untuk menjaga kesejahteraan manusia.

Akan tetapi manusia sering engkar. Mereka terdorong untuk menurut nafsu mereka tanpa batasan.

Sebab itulah Allah Subhanahu Wa Taala menurunkan LATIHAN RAMADHAN untuk umat Islam yang berIMAN, dengan modul puasa, tarawih dan lain-lain. Moga-moga dengan latihan ini manusia berIMAN mampu menyelia dan mengekang nafsu mereka sesuai dengan keperluan fitrah manusia dan tidak lebih dari itu.

Firman Allah yang bermaksud “Wahai orang-orang yang berIMAN, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga kamu berTAKWA.”

Itulah latihan Ramadhan, latihan untuk mereka yang berIMAN kepada ALLAH dan berIMAN dengan suruhan dan laranganNYA supaya melatih diri mereka untuk mewujudkan sistem kawalan diri (self-control system) berasaskan kepercayaan IMAN tersebut.

Siapa yang berjaya mewujudkan sistem kawalan diri terhadap godaan nafsu dalam dirinya maka ia adalah mukmin yang berTAKWA.

Aidilfitri adalah hari untuk kita meraikan kejayaan ini. Orang Islam seharusnya meraikan aidilfitri dengan nilai TAKWA, malangnya masih ramai yang menjadikan perayaan Aidilfitri sekadar satu lagi musim untuk berpesta.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!