Monday, September 22, 2008

Erti Kehidupan

“Hidup – bagaikan pentas opera, tirai hidup dibuka, aksi insan bermula…”, begitulah lirik lagu nyanyian Awie (semasa bersama kumpulan WINGS) yang kedengaran di telinga saya sewaktu berkunjung ke rumah ahli keluarga pada dua malam lepas.

Persoalan hidup merupakan subjek yang cukup menjadi minat saya dan saya percaya minat ramai di kalangan kita. Walaupun saya bukanlah seorang ahli falsafah, saya mahu menulis tentang hidup dan berkongsi pandangan dengan seramai mungkin khalayak. Mungkin dari penulisan ini, saya dan anda semua akan bertambah faham tentang erti kehidupan dan moga ianya mampu membantu kita dalam menguruskan hidup dengan lebih baik.

Saya percaya mereka yang mengecap kejayaan hidup hanyalah mereka yang memahami erti hidup – jelas halatuju, berwawasan, cintakan ilmu dan berdisiplin. Sedangkan mereka yang gagal pula adalah mereka yang gagal memahami erti hidup – halatuju songsang, tiada cita-cita, mudah putus asa dan tiada disiplin.

Mungkin ada pula yang mempersoalkan apa ukuran kejayaan dalam hidup? Sebagai seorang Islam kita percaya kejayaan bukan sahaja di dunia, bahkan kejayaan juga perlu dicari di akhirat! Bagi umat Islam, kejayaan di akhirat adalah syurga, dan kejayaan di dunia adalah apabila kita dapat mencapai kecemerlangan dalam apa jua peranan kita di dunia ini dan mendapat nikmat dunia dengan cara yang diredhai dan dirahmati Allah. Kejayaan di dunia juga diukur dari aspek pencapaian kita dalam melaksanakan tanggungjawab kita sebagai insan Muslim sepertimana yang dituntut oleh Islam.

Sesetengah agama lain juga mengiktiraf kehidupan selepas mati dan percaya ada pembalasan bagi perbuatan baik dan jahat yang dilakukan semasa hidup. Maka tentunya mereka yang percaya kepada pegangan ini akan mengidamkan kejayaan selepas mati dengan mengharapkan balasan yang baik.

Bagi mereka yang menolak kehidupan selepas mati, kejayaan bagi mereka adalah diukur dengan kecemerlangan dunia semata-mata, dengan mengambilkira pertimbangan penerimaan manusia terhadap mereka dan kepercayaan kepada nilai murni yang diterima secara universal.

Mungkin inilah isu pertama apabila kita berbicara tentang erti hidup – halatuju. Hidup tanpa halatuju bagai bahtera di laut luas yang belayar tanpa destinasi, sekadar seronok membadai ombak tenang berganti penat bertarung dengan gelora.

Adapun sesetengah manusia pula alpa untuk menyemak dan menghayati halatuju, lalu silap dalam mengatur kompas hidup – bagai bahtera yang tersilap destinasi, bila daratan muncul di depan mata, baru tersedar rupanya pelayaran yang meletihkan itu membawa mereka ke pulau yang salah.

1 comment:

Muna 'Izzah Fadzil said...

ku gembira di samping mu
tiap waktu disayangi
ku dibelai penuh manja
dengan ,,mu yang suci
(sory tak igt lirik)

wah!tahniah, atas Kompas Hidupmu
berusaha!. gud start babe!