Tuesday, September 30, 2008

Salam Aidilfitri

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, saya, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Rabu, 1hb Oktober 2008"
(YM Engku Tan Sri Dato Sri Ibrahim Engku Ngah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja)


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Aidilfitri, Kullu Aam Wa Antum Bikhair kepada semua umat Islam di Malaysia terutamanya ibu dan bapa tersayang di kampung, kakak-kakak, adik-adik, abang-abang dan adik-adik ipar serta anak-anak saudara.

Juga kepada ibu mertua, abang-abang dan kakak-kakak ipar serta anak-anak saudara di Lembah Kelang.

Teristimewa untuk isteri dan anak-anak yang dicintai.

Juga untuk rakan-rakan dan kenalan di mana sahaja berada.

Semoga Aidil Fitri memberi makna dan keberkatan untuk kita semua.

Wassalam.

Monday, September 29, 2008

Memahami SQ

Dari kecil, kita mendengar orang bercakap tentang kepentingan IQ (Intelligence Quotient). “Budak tu bijak, mesti IQ dia tinggi!” cetus murid kepada kawan-kawannya. Atas keperluan tersebut juga saintis telah mencipta alat untuk menguji tahap IQ seseorang. Ramai yang percaya masa depan dan kejayaan hidup seseorang boleh diukur pada ketinggian IQnya.

Dalam pertengahan tahun 90-an pula, Daniel Goleman mendedahkan penemuan dalam neurosains dan psychology yang menekankan kepentingan Emotional Quotient (EQ). Iaitu keupayaan manusia memahami perasaan mereka dan perasaan orang lain. Ini termasuklah perasaan simpati, motivasi, keghairahan dan keupayaan untuk bertindakbalas kepada keseronokan dan kesakitan. Coleman menyatakan bahawa EQ adalah asas keperluan kepada penggunaan IQ.

Beberapa tahun lalu, penulis Dana Zohar dan Ian Marshall memperkenalkan dimensi baru kepada keupayaan intelektual manusia. Mereka menyatakan Spiritual Quotient (ataupun SQ) adalah kemuncak kebijakan manusia. Inilah kebijakan yang digunapakai untuk menyelesaikan persoalan nilai dan rahsia hidup.

Menurut pandangan Anand Tendolkar, seorang pengamal kerohanian, SQ adalah mengenai tujuan kehidupan. “Manusia asasnya adalah makhluk yang punyai unsur roh, yang sentiasa bertanya “Siapakah aku?”, “Ke mana aku akan pergi?”, “Apa makna ciptaan lain padaku?” SQ mendorong manusia untuk mengatur kehidupan yang lebih seimbang – atas kepercayaan kepada tujuan hidup yang lebih menyeluruh dan bermakna.

Pada tahun 90-an, kajian seorang neuro-psychologist Micheal Persinger dan neurologist V.S. Ramachandran di University of California menunjukkan adanya ‘God-spot’ (Titik Ketuhanan) di dalam otak manusia. Bahagian otak tersebut memberi tindakbalas apabila subjek kajian didedahkan kepada persoalan ketuhanan.

Berkaitan dengan persoalan SQ di atas, Islam telah mengajar umatnya bahawa asas kepada kehidupan adalah mengenali tuhan. “Awwalu addin ma’rifatuLLAH”. Disamping meyakini kewujudan Allah, kita juga diwajibkan percaya pada perkara-perkara ghaib seperti dosa dan pahala, Hari Pembalasan (Akhirat), Qada’ dan Qadar dan sebagainya. Kesemua ini menjelaskan kepada manusia tentang maksud (meaning) dan tujuan (purpose) sebenar kehidupan.

Inna solati ya nusuki wa mahyaya wa mamati lillahi rabbil alamin” – itulah pengakuan yang kita sembahkan pada Allah setiap kali kita bersolat setiap hari. Ia bermaksud – “sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Tuhan sekelian alam (Allah)”.

Apabila manusia mengucap dua kalimah shahadah, mereka mengikat diri mereka dengan Allah. Maka seluruh maksud dan tujuan kehidupan mereka adalah untuk Allah. Hanya untuk Allah!

Inilah kekuatan spiritual (SQ) umat Islam.

Inilah kekuatan Iman!


Saturday, September 27, 2008

Intai Teropong

Menonton Debat Presiden (Presidential Debate) antara dua calon Presiden US, John McCain dan Barack Obama sebentar tadi membuatkan saya perlu mencuri pengecualian kepada hasrat untuk tidak menulis isu politik buat masa ini.

Pertamanya, amalan debat terbuka antara dua calon presiden bagi Pilihanraya Umum (Presiden) di US yang telah bermula sejak tahun 1960 antara John F Kennedy dan Richard Nixon merupakan satu amalan demokrasi pilihanraya yang cukup menarik. Calon presiden yang telah dipilih oleh parti masing-masing (Parti Republikan dan Parti Demokrat) akan bertemu dalam satu debat yang akan membincangkan isu-isu penting negara, isu-isu kontroversi dan perbincangan polisi.

Di pentas inilah, calon-calon tersebut akan menunjukkan kewibawaan masing-masing dalam penguasaan isu-isu yang dibincangkan dan berpeluang untuk membentangkan visi dan cadangan polisi terbaik mereka untuk dilaksanakan sekiranya mereka terpilih menjadi Presiden.

Saya percaya rakyat Malaysia juga mengidamkan suasana yang sama dalam Pilihanraya Umum kita.

Tapi ia tak berlaku.

Pada musim kempen PRU-12 baru-baru ini, Presiden PAS secara peribadi telah mengemukakan cadangan kepada Presiden UMNO dan menawarkan diri untuk berdebat samada antara beliau dengan Presiden UMNO atau Timbalan Presiden PAS dengan Timbalan Presiden UMNO. Tapi sehingga ke hari-hari terakhir kempen, pihak UMNO tidak memberikan sebarang jawapan.

Begitu juga, selepas PRU-12, Dato’ Seri Anwar juga mengemukakan cabaran untuk berdebat tentang isu kenaikan harga minyak dengan Dato’ Seri Abdullah Badawi atau Dato’ Seri Najib. Kedua-duanya tidak menyahut. Akhirnya, yang bersedia hanyalah Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Chik.

Saya mengharapkan kita boleh melihat calon-calon Perdana Menteri (sekiranya parti-parti yang bertanding bersedia namakan terlebih dahulu) bagi Pilihanraya Umum Malaysia pada masa depan akan melalui proses debat terbuka begini bagi membuktikan keupayaan mereka.

Dalam perdebatan antara Mc Cain dan Obama sebentar tadi, kedua-duanya cuba untuk menunjukkan penguasaan dalam semua isu yang dibawa oleh moderator iaitu krisis ekonomi US, pendudukan tentera di Iraq, polisi US terhadap Iran, hubungan US-Rusia dan soal keselamatan pasca 9-11.

Obama memperlihatkan keyakinan dalam membentangkan plan pemulihan ekonomi US dan menyenaraikan keutamaan beliau dalam pembangunan bekalan tenaga, kebajikan rakyat teramai, pendidikan awal dan kesihatan. Beliau juga menjelaskan kelebihan polisi cukai yang akan dilaksanakan sekiranya beliau terpilih menjadi Presiden. Manakala Mc Cain kelihatan kurang bersedia dan lebih banyak bercakap soal potongan perbelanjaan dan sistem pentadbiran kewangan.

Saya melihat Mc Cain tidak ubah seperti Bush, mengagungkan US pada kuasa ketenteraannya. Mc Cain cukup berbangga dengan operasi ketenteraan di Iraq sementara Obama mempertikaikan kewajaran mengekalkan operasi tersebut.

Dalam isu dasar luar US terhadap Iran, saya percaya Mc Cain cuba mengambil peluang untuk menarik sokongan pengundi Yahudi (Jews) di US dengan menyebut lebih dari sekali bahawa dia tidak bersetuju dengan kesediaan Obama yang bersedia mengadakan pertemuan diplomatik dengan Ahmadinejad yang telah memberikan kenyataan untuk “menghapuskan Israel dari peta dunia”.

Saya percaya anda boleh mendapat banyak ulasan tentang debat pusingan pertama ini selepas ini.

Yang pasti, setiap pemimpin yang menawarkan diri untuk mentadbir sesebuah negara mesti mempunyai kefahaman jelas tentang negaranya, mempunyai visi, misi dan perancangan pentadbiran yang komprehensif untuk dilaksanakan nanti.

Friday, September 26, 2008

Sauh Berlabuh

Sejak dua hari yang lepas (selepas posting kedua – “Destinasi Hidup”), saya tercari-cari idea untuk menulis sesuatu yang lebih ringan sebagai selingan di blog ini.

Apabila kawan saya Afyan (www.afyan.com) menelefon di pagi Rabu bertanyakan “kematian” road tax kereta saya, saya sempat meminta pandangan beliau. Dia kata “…berceritalah! Ramai orang suka baca cerita…”.

Balik ke rumah malamnya, saya bertanya pada isteri (www.munaizzah.blogspot.com) “…Yang! Apa Abang nak tulis kat blog tu ye, untuk selingan…” . Dia jawab “…tulislah pasal kisah abang buat pemeriksaan mata hari tu…”.

Saya masih belum dapat idea.

Lalu, selepas solat subuh, saya tembak satu SMS pada adik bongsu saya (www.fadzliyusof.com), dialah yang mencadang dan menggalakkan saya dan isteri mem”blog”. Selepas seketika, ini jawapan SMSnya:- “quotation local figure, fakta menarik, jenaka, berita pilihan minggu ini. Tulis yg connected dgn tema blog tersebut”.

Terima kasih pada semua yang beri pandangan!

Kadang-kadang teringin untuk mengulas isu-isu politik semasa. Tapi mengingatkan lambakan blog-blog penulisan politik yang ada, saya memutuskan untuk tidak menulis tentang politik pada masa ini. Mungkin saya perlu ada blog kedua pada masa depan untuk penulisan politik. Lagipun, penulisan politik juga berat.

Jadi, apa kisah yang perlu saya ceritakan kali ini?

Saya ada beberapa “fakta menarik” – saya diingatkan semula malam tadi dari tazkirah Tarawih oleh Ust Zulkifli Ahmad, seorang pendakwah muda dan pejuang Islam yang cukup komited dalam perjuangan. Dalam penyampaian beliau yang cukup bersemangat, beliau ada bercerita tentang kehebatan tokoh-tokoh dunia dan pengorbanan mereka.

Saya nak berkongsi dengan anda kisah 2 tokoh yang mempunyai daya spiritual (spiritual quotient) yang cukup tinggi, (yang disebut oleh Ustaz Zul malam tadi, dengan sedikit penambahan) iaitu Sheikh Ahmad Yasin dan Mahatma Ghandi.

Kisah 1: Sheikh Ahmad Yasin

Sheikh Ahmad Yasin adalah pemimpin utama perjuangan rakyat Palestin, pengasas HAMAS. Walaupun beliau hanya berkerusi roda sejak zaman kanak-kanaknya dan (hampir) buta, tetapi beliau cukup digeruni oleh musuh Islam, zionis Israel. Beliau ditahan dan dipenjarakan oleh Israel pada tahun 1989 kerana mengetuai gerakan menentang penjajahan yahudi zionis di Palestin dan dibebaskan pada tahun 1997 sebagai tukaran dengan dua ajen Mossad yang ditahan pemerintah Jordan. Beliau terus memimpin HAMAS sehingga beliau terbunuh dalam serangan hendap tentera Israel ke atasnya pada Subuh 22 Mac 2004.

Pada pagi tersebut, pembantu-pembantu beliau telah menasihatkan beliau untuk kekal di rumah kerana mereka telah mendapat maklumat tentang rancangan serangan untuk membunuh beliau. Tapi beliau bertegas untuk terus keluar berjamaah di masjid dan menyatakan beliau "tidak gentar untuk mati”.

Kisah 2: Mahatma Ghandi

Mahatma Ghandi adalah seorang seorang tokoh pemimpin dunia. Beliau memperjuangkan nasib bangsa India dan kemerdekaan India dari British. Beliau mengorbankan kehidupan beliau demi masa depan yang lebih baik untuk India. Beliau meninggalkan kehidupan cara hidup barat (beliau merupakan lulusan Undang-Undang di University College London) dan memilih untuk hidup sederhana dan berpakaian (khadi) seperti pakaian golongan termiskin di India. Begitulah keadaan beliau berpakaian sehingga beliau mati ditembak pada tahun 1948.

Di pusaranya tertulis “He Ram” yang bermaksud “Oh Tuhan” dan dikatakan inilah perkataan terakhir yang dilafazkannya selepas ia ditembak.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang kedua-dua kisah tokoh-tokoh ini, apa yang pasti mereka punya kesedaran spiritual (spiritual quotient) yang tinggi juga destinasi hidup yang jelas!

Jumpa lagi!!!


Wednesday, September 24, 2008

Destinasi Hidup

Dalam tazkirah antara tarawih pada satu malam di awal Ramadhan baru-baru ini, rakan saya Ustaz Dr Azhar Yaakub, memulakan kalamnya dengan indah sekali dengan membacakan hadis yang saya ingat maksudnya, “Barangsiapa mengenali dirinya, maka ia mengenali Tuhannya”.

Beliau seterusnya menyambung dengan mengupas kepentingan mengenal dan menjaga tiga elemen utama dalam diri manusia – jasad, akal dan emosi.

Ya, untuk kita memahami erti hidup, kita semestinya mengenali kejadian manusia sebaik-baiknya. Sedang saya bersetuju dengan ketiga-tiga elemen dalam diri manusia yang disampaikan ustaz dalam tazkirahnya, saya ingin menambah elemen ke empat yang sukar dijelaskan tempat duduknya pada diri manusia iaitu roh.

Roh, akal, emosi dan jasad – empat elemen utama yang dimiliki manusia sekaligus membezakan manusia dengan semua makhluk lain yang diciptakan Allah di atas muka bumi ini. Dalam istilah yang lain, manusia dianugerahkan empat aset utama iaitu kekuatan rohani (spiritual quotient), daya intelek (intellectual quotient), daya emosi (emotional quotient) dan jasmani (physical quotient).

Malaikat, jin dan syaitan tidak memiliki jasad, mereka adalah makhluk ghaib. Malaikat pula tiada emosi. Binatang tiada unsur rohani. Manakala makhluk yang lain berjasad tapi tiada akal apatah lagi ruh. Hanya manusia dijadikan Allah sempurna segalanya.

Apa hubungkait perkara di atas dengan tajuk kita hari ini – “destinasi hidup”?

Pertarungan (struggle) seseorang manusia sepanjang hidupnya banyak bergantung kepada apa yang dipercayainya (faith). Setiap manusia percaya kepada nilai baik dan buruk. Lebih jauh daripada itu manusia secara tabienya percaya terhadap wujudnya tuhan dan pertanggungjawaban manusia terhadap tuhan, tidak kira apa agamanya. Mereka yang menolak kepercayaan wujudnya tuhan adalah mereka yang cuba menafikan tabie manusia.

Kepercayaan kepada wujudnya tuhan ini adalah terhasil dari unsur kekuatan ruhani (spiritual quotient) dalam diri manusia. Semakin dalam kekuatan rohani seseorang manusia, semakin ia menjaga diri untuk patuh kepada nilai baik dan menjauhi nilai yang buruk dalam kehidupannya. Kerana Tuhan dan keredhaanNya adalah destinasi pelayaran hidup manusia itu.

Destinasi pelayaran hidup mesti tepat dan jelas!

Bagi umat Islam, destinasi kita hanya satu – Allah yang Maha Agung.

Ya, untuk cemerlang dalam hidup kita perlu punyai akal yang cerdas, emosi yang baik dan badan yang sihat. Tapi kesemuanya itu mesti dipandu oleh kekuatan ruhani yang hakiki. Berikan makanan dan peruntukkan masa untuk ruhani (spiritual quotient) dengan kita berfikir, berzikir, menjaga ibadah dan sentiasa mengikat diri kita denganNya.

Apa nasib sebuah pelayaran walau kapalnya besar, kompasnya canggih dan layarnya kukuh SEKIRANYA pelayar tak tahu mana destinasinya?

Monday, September 22, 2008

Erti Kehidupan

“Hidup – bagaikan pentas opera, tirai hidup dibuka, aksi insan bermula…”, begitulah lirik lagu nyanyian Awie (semasa bersama kumpulan WINGS) yang kedengaran di telinga saya sewaktu berkunjung ke rumah ahli keluarga pada dua malam lepas.

Persoalan hidup merupakan subjek yang cukup menjadi minat saya dan saya percaya minat ramai di kalangan kita. Walaupun saya bukanlah seorang ahli falsafah, saya mahu menulis tentang hidup dan berkongsi pandangan dengan seramai mungkin khalayak. Mungkin dari penulisan ini, saya dan anda semua akan bertambah faham tentang erti kehidupan dan moga ianya mampu membantu kita dalam menguruskan hidup dengan lebih baik.

Saya percaya mereka yang mengecap kejayaan hidup hanyalah mereka yang memahami erti hidup – jelas halatuju, berwawasan, cintakan ilmu dan berdisiplin. Sedangkan mereka yang gagal pula adalah mereka yang gagal memahami erti hidup – halatuju songsang, tiada cita-cita, mudah putus asa dan tiada disiplin.

Mungkin ada pula yang mempersoalkan apa ukuran kejayaan dalam hidup? Sebagai seorang Islam kita percaya kejayaan bukan sahaja di dunia, bahkan kejayaan juga perlu dicari di akhirat! Bagi umat Islam, kejayaan di akhirat adalah syurga, dan kejayaan di dunia adalah apabila kita dapat mencapai kecemerlangan dalam apa jua peranan kita di dunia ini dan mendapat nikmat dunia dengan cara yang diredhai dan dirahmati Allah. Kejayaan di dunia juga diukur dari aspek pencapaian kita dalam melaksanakan tanggungjawab kita sebagai insan Muslim sepertimana yang dituntut oleh Islam.

Sesetengah agama lain juga mengiktiraf kehidupan selepas mati dan percaya ada pembalasan bagi perbuatan baik dan jahat yang dilakukan semasa hidup. Maka tentunya mereka yang percaya kepada pegangan ini akan mengidamkan kejayaan selepas mati dengan mengharapkan balasan yang baik.

Bagi mereka yang menolak kehidupan selepas mati, kejayaan bagi mereka adalah diukur dengan kecemerlangan dunia semata-mata, dengan mengambilkira pertimbangan penerimaan manusia terhadap mereka dan kepercayaan kepada nilai murni yang diterima secara universal.

Mungkin inilah isu pertama apabila kita berbicara tentang erti hidup – halatuju. Hidup tanpa halatuju bagai bahtera di laut luas yang belayar tanpa destinasi, sekadar seronok membadai ombak tenang berganti penat bertarung dengan gelora.

Adapun sesetengah manusia pula alpa untuk menyemak dan menghayati halatuju, lalu silap dalam mengatur kompas hidup – bagai bahtera yang tersilap destinasi, bila daratan muncul di depan mata, baru tersedar rupanya pelayaran yang meletihkan itu membawa mereka ke pulau yang salah.