Saturday, October 4, 2008

Iman, Takwa & AidilFitri

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Wa lillahilHamd,

Hari ini hari ke-4 Syawal. Sudah tiga hari Aidilfitri berlalu, disambut dengan pelbagai perasaan dan bermacam-macam aktiviti.

Aidilfitri adalah hari kemenangan. Kemenangan umat Islam dalam berperang dengan nafsu sepanjang Ramadhan.

Nafsu adalah keperluan dalam kejadian diri manusia. Nafsu menyokong keperluan EMOSI dan FIZIKAL manusia. Badan kita perlukan tenaga, nafsu mendorong kita makan. Jiwa kita perlukan keseronokan dan ketenangan, nafsu mendorong kita pada hiburan, kuasa dan kebendaan.

Akan tetapi, nafsu yang tidak terkawal membawa manusia kepada kemusnahan. Sesetengah makanan dan minuman memudaratkan, sesetengah keseronokan memudaratkan. Maka Islam meletakkan had kepada apa yang dibolehkan dan apa yang tidak dibolehkan untuk menjaga kesejahteraan manusia.

Akan tetapi manusia sering engkar. Mereka terdorong untuk menurut nafsu mereka tanpa batasan.

Sebab itulah Allah Subhanahu Wa Taala menurunkan LATIHAN RAMADHAN untuk umat Islam yang berIMAN, dengan modul puasa, tarawih dan lain-lain. Moga-moga dengan latihan ini manusia berIMAN mampu menyelia dan mengekang nafsu mereka sesuai dengan keperluan fitrah manusia dan tidak lebih dari itu.

Firman Allah yang bermaksud “Wahai orang-orang yang berIMAN, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga kamu berTAKWA.”

Itulah latihan Ramadhan, latihan untuk mereka yang berIMAN kepada ALLAH dan berIMAN dengan suruhan dan laranganNYA supaya melatih diri mereka untuk mewujudkan sistem kawalan diri (self-control system) berasaskan kepercayaan IMAN tersebut.

Siapa yang berjaya mewujudkan sistem kawalan diri terhadap godaan nafsu dalam dirinya maka ia adalah mukmin yang berTAKWA.

Aidilfitri adalah hari untuk kita meraikan kejayaan ini. Orang Islam seharusnya meraikan aidilfitri dengan nilai TAKWA, malangnya masih ramai yang menjadikan perayaan Aidilfitri sekadar satu lagi musim untuk berpesta.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

No comments: